Ahad, 20 Mac 2011

Hasrat kahwin setiap bulan [ betapa mudahnya wanita diperdaya......]

TEKAD BALAS... empat ‘madu’ melihat gambar lelaki yang memperdayakan mereka.

KUALA LUMPUR: Tembelang seorang lelaki yang bercita-cita hidup senang dengan mengikis wang wanita bukan saja terbongkar, malah dia kini tidak keruan apabila terpaksa berdepan pakatan empat ‘madu’ yang berganding bahu untuk memporak-perandakan hidupnya.

Pakatan berkenaan membabitkan tiga mangsa yang dijanjikan untuk dikahwini dalam tempoh selang sebulan, bermula bulan depan, manakala bekas isteri lelaki itu mahu melunaskan dendam selepas menyedari suaminya curang.

Sebagai wanita, dia berang kerana suaminya memperdaya mangsa hingga ada yang mengandung, ditipu lebih RM10,000 dan diperbodoh-bodohkan.

Antara perancangan empat mangsa lelaki yang selayaknya digelar kasanova kaki temberang itu adalah membuat laporan polis selepas mendakwa diugut lelaki berkenaan dan muncul di majlis perkahwinannya dengan seorang lagi mangsa.


“Kami menyimpan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang dihantar lelaki itu selepas tembelangnya pecah. Kami juga mendapat maklumat dia akan berkahwin dengan seorang lagi mangsanya beberapa bulan lagi.


“Tunggulah kehadiran kami,” kata seorang mangsa mewakili kumpulan wanita itu yang mahu dikenali sebagai Nani, 28.

Nani ditemui Metro Ahad bersama dua lagi mangsa dikenali sebagai Miza, 42; Dira, 51, dan bekas isteri lelaki terbabit yang mahu dikenali sebagai Alin, 29.

Menurut Nani, tembelang lelaki itu terbongkar selepas dia, Miza dan Dira yang masing-masing berstatus ibu tunggal berhubung antara satu sama lain di laman sosial yang menjadi punca kepada perkenalan mereka dengan lelaki terbabit.

Katanya, mereka mengenali lelaki itu sekitar Ogos tahun lalu menerusi laman sosial dan segala-galanya terbongkar dua bulan lalu.

“Dalam laman sosial itu, Miza dan Dira turut menjadi kenalan saya. Apabila berhubung antara satu sama lain, masing-masing bercerita mengenai ‘drama king’ itu dan terbongkarlah rahsia.

“Dalam menjalin hubungan cinta dengan saya, rupa-rupanya dia turut bercinta dengan dua rakan saya. Taktiknya sama, antaranya menggunakan panggilan diri ‘papa’ dan menagih simpati dengan mengatakan ibunya terlantar di hospital dua tahun akibat koma,” katanya.

Nani berkata, lelaki itu turut merayu supaya diberikan RM15,000 untuk menanggung kos rawatan ibunya.

“Dengan saya dia minta RM15,000, begitu juga Miza dan Dira. Kerana tertipu dengan janji manisnya, sepanjang perkenalan, saya menyerahkan lebih RM10,000.

“Paling menyedihkan, saya sanggup meminjam RM5,000 daripada along untuk diberikan kepadanya,” katanya yang turut mengakui menyerah tubuhnya kepada lelaki itu sehingga kini mengandung dua bulan.

Menurut Nani, satu lagi tembelang yang dibongkar, lelaki yang pada mulanya mengaku bujang itu rupa-rupanya berkahwin.

“Lelaki itu meminjam telefon bimbit saya dan menggantikan dengan ‘telefon buruk’ miliknya. Saya mengesan satu nombor tanpa nama dan menghubunginya.

“Alangkah terkejutnya saya, individu yang saya hubungi adalah isterinya. Isterinya tidak terkejut kerana tahu kerenah suaminya yang banyak skandal dengan wanita, malah pada masa sama mengakui tidak tinggal sebumbung dan akan bercerai,” katanya.

Selepas mengenali satu sama lain sebulan lalu, Nani bersama Miza, Dira dan Alin mengadakan pertemuan dan terbongkarlah lebih banyak rahsia lelaki itu.

“Dalam pertemuan itu Alin mengesahkan sudah bercerai. Walaupun masing-masing sakit hati tetapi apabila bercerita, lucu pula jadinya.

“Ketika menjalin hubungan dengan kami, dia sudah ada isteri. Dengan saya dia janji nak kahwin April tahun ini dan dengan dua lagi ‘kekasihnya’ (Miza dan Dira), dia janji nak kahwin pada Mei dan Jun. Justeru, kami ini empat madulah jadinya,” katanya.

Menurut Nani, dakwaan lelaki itu bahawa ibunya sakit juga dusta semata-mata.

“Kami sudah berjumpa ibunya. Memang dia raja drama sebab ibunya sihat saja di rumah. Kami juga bertemu seorang adik beradiknya dan ternyata dia memang penipu,” katanya.

Nani mengakui ‘tewas’ dengan ayat manis lelaki itu dan kini menyesal.

“Saya pun sukar menyatakan mengapa saya jatuh hati dengannya sebab boleh dikatakan dia masuk dalam kategori kasanova ‘cap ayam’. Nak kata tampan, tak adalah pula, perut buncit adalah.

“Cuma, dia guna ayat manis untuk memikat sehingga saya terpikat. Kini, saya menanggung akibatnya,” katanya.

Bagi Miza pula, dia kerugian kira-kira RM1,000 selepas ‘buta-buta’ menyerahkan wang kepada lelaki itu.

“Lelaki itu memang pandai memujuk rayu. Kerjanya asyik minta wang... tambah nilai kredit telefon bimbit pun minta dengan saya.

“Kira-kira RM1,000 sudah saya beri kepadanya. Selepas tembelangnya terbongkar, saya akan menuntut kembali wang saya,” katanya.

Dira pula berkata, dia kerugian kira-kira RM500 sepanjang berkenalan dengan lelaki itu.

“Eloklah tembelangnya pecah sebab belum apa-apa, sudah terserlah sikap buruknya. Kerjanya asyik cemburu, mengongkong dan memaki saja.

“Nasiblah siapa mangsanya selepas ini. Orang seperti itu tidak akan berhenti menipu dan menyusahkan orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Alin mengakui sehingga hari ini dia menerima panggilan daripada wanita tidak dikenali melepaskan kemarahan dan menuntut wang.

“Saya memang ada menggunakan nombor telefon bekas suami. Justeru, ada wanita yang dikenakan bekas suami menghubungi nombor telefon itu.

“Saya nak buat macam mana. Pekakkan telinga sajalah,” katanya.





p/s:..betapa mudahnya wanita diperdaya......kenapa jadi begitu wahai wanita????



14 ulasan:

storyfromme berkata...

hahaha..padan muka.kau rasakan la kehebatan wanita.

kak aton berkata...

kenapa wanita sering terpedaya dgn janji manis lelaki..
ketahuilah kalau lelaki lebih bnyk bercakap dgn manis bak madu mesti lelaki ni sakit yg susah diubat..

sugar2 kapas strawberry berkata...

kesiannnnnnnnnn

Azroy Bin Kassim berkata...

lelaki zaman skrg ni mg tak guna.. mencik!!

hanim azhari berkata...

huhuhu..dua2 same je sengal ubi

Norhayati Rostam berkata...

Haha.
Adoih~
Macam terkena di situ.

Kaseh berkata...

moralnya..jgn mudah terpedaya...dan jgn mudah bg duit kat lelaki :)

Sekamar Rindu berkata...

kak Kaseh,

betul..tapi berlaku juga..tu la masalahnya..

Sekamar Rindu berkata...

Norhayati Rostam,

kesian pada wanita yg selalu terkena tu

Sekamar Rindu berkata...

hanim azhari,

hahaha.sengal ubi..kali pertama mendengar ayat ni..:)

Sekamar Rindu berkata...

Azroy Bin Kassim,

tak semua mcm tu...ada juga yg baik....mcm sr ni..:))))

Sekamar Rindu berkata...

sugar2 kapas strawberry,

memang kesian..:))

Sekamar Rindu berkata...

kak aton,

selalunya mcm tulah..pompuan mudah sangat terpedaya.....kesianyaa

Sekamar Rindu berkata...

storyfromme,

rasakan tamparan wanita..:)

kad raya adinda amy sensei

kad raya dari Kak Kunang-Kunang

kad hari guru dari Puan Ayu

kad adinda amy

kad adinda amy

award frpm CintaZulaikha

award frpm CintaZulaikha

award buat sahabat2 saya..sudi-sudikanlah ambil..

award buat sahabat2 saya..sudi-sudikanlah ambil..

award Ten Little Fingers

kad raya dari Cik Amy

cinta dan bola

cinta dan bola

kad raya from kak Miayah

award from cik amy

award dari blog LOVE

bcb

yy